TETAMU YANG KERAP BERKUNJUNG

MALAIKAT MAUT : TETAMU YANG KERAP BERKUNJUNG

BETAPA kerapnya malaikat maut melihat dan merenung wajah seseorang, iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70 kali.. Andainya manusia sedar hakikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan oleh Malaikat Izrail.

Justeru itu, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu bersenang-lenang dan bergelak-ketawa, seolah-olah dia tiada masalah yang perlu difikirkan dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia adalah seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki sebarang bekalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan dosa.

Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :
Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail : Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.

Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhatikan oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan hubungannya dengan malaikat maut.

Meski pun mata manusia hanya mampu melihat benda yang nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran malaikat maut itu. Namun pandangan mata hati mampu melihat alam ghaib, iaitu memandang dengan keyakinan iman dan ilmu.

Sebenarnya manusia itu sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan mati, tetapi manusia menilai kematian dengan berbagai tanggapan. Ada yang menganggapkematian itu adalah suatu tabie biasa sebagai pendapat golongan athies, dan tidak kurang pula yang mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang zahir sahaja. Dia mengambil logik, bahawa banyak kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi, seperti diakibatkan oleh peperangan, bencana alam seperti banjir, gempa bumi, kebakaran dan juga kemalangan samada diudara, laut dan daratan termasuk kemalangan jalan raya.

Selain itu, mereka juga melihat kematian disebabkan oleh serangan penyakit yang merbahaya seperti penyakit barah, sakit jantung, AIDS, demam denggi, taun dan sebagainya. Disebabkan manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yang lumrah, maka manusia sering mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian yang tersebut di atas.

Jika berlaku kematian dikalangan mereka, lantas mereka bertanya, ? sebab apa si fulan itu mati, sakitkah atau kemalangankah??.
Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling manusia, mengenal-pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah tamat.

Sesungguhnya malaikat maut menjalankan arahan Allah SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut.

Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang mewah yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang atau mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya tidak akan tertangguh walau sesaat.

Walau bagaimana pun, ada ketikanya Allah SWT jadikan berbagai sebab bagi satu kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya. Misalnya sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan menjadi rahmat bagi orang yang beriman dan sabar, kerana Allah Taala memberi peluang dan menyedarkan manusia agar dia mengingati mati, untuk itu dia akan menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu, membetulkan dan bertaubat dari dosa dan kesilapan serta memperbaiki amalan, serta menambah bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi orang muflis di akhirat kelak.

Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan, ia akan menjadi pengajaran dan memberi peringatan kepada orang-orang yang masih hidup supaya mereka sentiasa berwaspada dan tidak lalai dari berusaha memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan. Kerana sekiranya ajal datang secara tiba-tiba pasti akan membawa sesalan yang tidak berguna.

Di kalangan orang solihin menganggap bahawa sakit yang ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah SWT masih menyayanginya. Kerana betapa malangnya bagi pandangan meraka, jika Allah SWT mengambil roh dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran terlebih dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap dirinya, sebab itulah Allah SWT tidak memberi amaran terlebih dahulu kepadanya. Keadaan orang itu ibarat orang yang tidak menyedari adanya bahaya di hadapannya, jika ada amaran terlebih dahulu nescaya dia akan terjerumus ke lembah bahaya itu.

Selain itu, Allah Taala menjadikan sebab-sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut, sebagaimana diriwayatkan oleh Saidina Abbas r.a dalam sebuah hadis Nabi yang panjang. Antara lain menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila dibebankan dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara makhluk bernyawa itu termasuk manusia yang terdiri dari kekasih-kekasih Allah SWT iaitu para Rasul, nabi-nabi, wali-wali dan orang-orang solihin.

Selain itu juga, malaikat maut mengadu kepada tuhan betapa dirinya tidak disenangi oleh keturunan Adam a.s, dia mungkin dicemuh kerana dia ditugaskan mencabut roh manusia, yang menyebabkan orang akan berdukacita, kerana kehilangan sanak-saudara dan orang-orang yang tersayang di kalangan mereka.

Diriwayatkan bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan berbagai-bagai sebab kepada kematian yang akan dilalui oleh keturunan Adam a.s sehingga keturunan Adam itu akan memikirkan dan mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang dialami oleh mereka. Apabila berlakunya kematian, mereka akan berkata bahawa si anu itu mati kerana mengidap sakit, ataupun kerana mendapat kemalangan, mereka akan terlupa mengaitkan malaikat maut dengan kematian yang berlaku itu.

Ketika itu, Izrail tidak perlu bersedih kerana manusia tidak mengaitkan kematian tersebut dengan kehadiran malaikat maut, yang sememangnya diutus oleh Allah SWT pada saat malapetaka atau sakit tenat seseorang itu bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah tiba.
Namun pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan Allah, yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata di dalam takdir Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah tentera-tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang diamanahkan kepadanya.

Walau bagaimana pun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan kematian seseorang itu samada bersebab ataupun tidak, sebagai mana yang dinyatakan pada awal tulisan ini bahawa ada ketikanya malaikat maut hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak-ketawa, hingga malaikat maut berasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal samada seseorang yang sedang sakit atau pun ketika sihat dan segar-bugar.

Firman Allah Taala yang bermaksud :
Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat ( pula ) mempercepatkannya. ? ( Surah Al-A?raf ayat 34)

Rahmat Ujian

“Dalam derita ada bahagia Dalam gembira mungkin terselit duka
Tak siapa tahu
Tak siapa pinta ujian bertamu

Bibir mudah mengucap sabar
Tapi hatilah yang remuk menderita
Insan memandang
Mempunyai berbagai tafsiran

Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya

Harus ada rasa bersyukur
Di setiap kali ujian menjelma
Itu jelasnya membuktikan
Allah mengasihimu setiap masa
Diuji tahap keimanan
Sedangkan ramai terbiar dilalaikan

Hanya yang terpilih sahaja
Antara berjuta mendapat rahmat-Nya

Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi”

Mestica

AIRMATA RASULULLAH SAW...

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam.. 'Bolehkah saya masuk?' tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, 'Maafkanlah, ayahku sedang demam', kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, 'Siapakah itu wahai anakku?' 'Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,' tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

'Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut,' kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini. 'Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?', tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.

'Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. 'Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,' kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. 'Engkau tidak senang mendengar khabar ini?', tanya Jibril lagi. 'Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?' 'Jangan khawatir, wahai Rasul ! Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya,' kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. 'Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini.' Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. 'Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?' Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.

'Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal,' kata Jibril. Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengaduh, karena sakit yang tidak tertahankan lagi. 'Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.' Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya.

'Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku' 'peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.' Diluar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

'Ummatii,ummatii,ummatiii?' - 'Umatku, umatku, umatku' Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

WASIAT NABI MUHAMMAD S.A.W. kepada SAIDINA ALI R.A.

Wahai Ali, bagi orang 'ALIM itu ada 3 tanda2nya:
1) Jujur dalam berkata-kata.
2) Menjauhi segala yg haram.
3) Merendahkan diri.


Wahai Ali, bagi orang yg JUJUR itu ada 3 tanda2nya:
1) Merahsiakan ibadahnya.
2) Merahsiakan sedekahnya.
3) Merahsiakan ujian yg menimpanya.

Wahai Ali, bagi org yg TAKWA itu ada 3 tanda2nya:
1) Takut berlaku dusta dan keji.
2) Menjauhi kejahatan.
3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.

Wahai Ali, bagi AHLI IBADAH itu ada 3 tanda2nya:
1) Mengawasi dirinya.
2) Menghisab dirinya.
3) Memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t.

Wang $50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid, tetapi begitu kecil bila kita bawa ke supermarket.

45 minit terasa terlalu lama untuk berzikir, tapi betapa pendeknya waktu itu untuk pertandingan bola sepak.

Semua insan ingin memasuki syurga, tetapi tidak ramai yang
berfikir dan berbicara tentang bagaimana untuk memasukinya .

Mukjizatnya Azan

Pesanan Semasa Mendengar Azan...

Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati. Mengapa kebanyakan orang yang nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa....lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya yang menahan kesakitan 'sakaratul maut'.

Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud: "Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya. "Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan berkumandang.

Sebagai orang beragama Islam kita wajib menghormati azan. Banyak fadhilatnya. Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri. Mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri? Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak .

Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah "Lailahaillallah. ."yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut Allah dgn izinNya menjanjikan syurga untuk mereka.

Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut.

"Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah "Lailahaillallah. ." semasa sakaratul maut menghampiri kami.
Amin..amin.. amin Yarobbal a'lamin.."

RAHSIA KHUSYUK DALAM SEMBAHYANG

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya : “Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?”Hatim berkata : “Apabila masuk waktu solat aku berwudhu’ zahir dan batin.”

Isam bertanya, “Bagaimana wudhu’ zahir dan batin itu?”Hatim berkata, “Wudhu’ zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu’ dengan air. Sementara wudhu’ batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-

1. bertaubat
2. menyesali dosa yang dilakukan
3. tidak tergila-gilakan dunia
4. tidak mencari / mengharap pujian orang (riya’)
5. tinggalkan sifat berbangga
6. tinggalkan sifat khianat dan menipu
7. meninggalkan sifat dengki

Seterusnya Hatim berkata, “Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian ‘Sirratul Mustaqim’ dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.

Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian aku ruku’ dan sujud dengan tawadhu’, aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun.”

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

MAULIDUR RASUL

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Kita sedang berada di bulan Rabiulawal, bulan yang mencatatkan peristiwa penting dalam sejarah Islam. Dimana apabila tibanya 12 Rabiulawal setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia akan sama-sama mengingati tarikh keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang diutus sebagai Rasul akhir zaman telah membawa sinar kebahagiaan kepada manusia dan rahmat kepada seluruh alam. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Anbiyaa' ayat 107 tafsirnya :

"Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sejarah telah membuktikan bahawa perjalanan kehidupan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam tugasnya menyebarkan dakwah Islam yang mulia ini penuh dengan peristiwa pahit dan getir, Baginda pernah dikeji, dihina, diugut, dibaling dengan batu sehingga berdarah, dimusuhi dan dipulaukan oleh sebilangan dari kaum keluarganya, namun untuk meninggalkan amanah Allah ini tidak sekali-kali terlintas di dalam jiwa Baginda.

Walaupun Baginda hidup dalam suasana masyarakat Jahiliah yang sesat, Baginda sekali-kali tidak terikut-ikut dan terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Jahiliah tersebut seperti penyembahan berhala, minum arak, berjudi dan berhibur. Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga menerima berbagai-bagai ujian dimana sejak kecil lagi Baginda menjadi yatim piatu dengan kewafatan ayahanda dan bonda yang tercinta. Kemudian Baginda dijaga oleh datuknya Abdul Mutalib tetapi Allah Subhanahu Wata'ala sekali lagi menguji Baginda dengan kewafatan datuknya ketika Baginda berusia lapan tahun dan kemudian Baginda dijaga oleh bapa saudaranya Abu Talib. Cuba kita bayangkan, bagaimana Baginda, orang yang bakal melaksanakan tugas menyebarkan dakwah Islam yang begitu besar dan berat telah diuji dengan kehilangan ahli keluarga ketika usianya yang masih kecil.

Tetapi Allah Maha Penentu segala-galanya dimana setiap sesuatu yang berlaku mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Ujian kewafatan ahli keluarga tercinta telah mendidik Baginda supaya menjadi seorang yang cepat matang, tabah dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain.

Justeru itu, kita wajib beriman kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya, mudah-mudahan kita beroleh kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Hasyr ayat 7 tafsirnya :

"Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka ambillah akan ia serta amalkan dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah Amat Berat Azab Seksa-Nya bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan kita supaya cinta dan kasihkan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dengan mengikut sunnah yang dibawanya. Jika kita mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, kita setentunya banyak menyebut-nyebut Baginda,? Syair Arab ada berkata ertinya :

"Barangsiapa menyukai sesuatu itu, akan banyaklah dia menyebut-nyebutnya".

Bagaimanakah caranya untuk kita menyebut nama Baginda sehingga boleh membawa keuntungan? Jawabnya ialah dengan berselawat. Semakin banyak kita berselawat, semakin besar ganjaran yang bakal diterima, bukan sahaja di akhirat malahan juga di dunia ini. Di antara kelebihan berselawat itu ialah :

1-Allah Subhanahu Wata'ala akan berselawat (memberi rahmat, cahaya dan hidayah) kepada orang yang berselawat.
2-Akan mendapat syafaat Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam di akhirat nanti.
3-Diangkat baginya sepuluh darjat, dicatatkan baginya sepuluh kebajikan, dihapuskan daripadanya sepuluh kejahatan.
4-Dimakbulkan doanya dan ditunaikan segala hajatnya dan ditutup segala aibnya.
5-Mendapat petunjuk serta hatinya hidup untuk menerima kebenaran.
6-Terlepas daripada huru-hara Hari Kiamat.

Dalam hal ini, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ada bersabda dalam hadis Baginda maksudnya :

"Dari Abdullah bin Mas'ud Radiallahuanhu bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Manusia yang paling utama bersama-Ku pada Hari Kiamat ialah orang yang paling banyak mengucapkan selawat kepadaku". (Riwayat Al-Imam At-Termidzi)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya banyak jenis selawat yang boleh diamalkan. Di antaranya Selawat Ibrahimiyyah, Selawat Al-Munjiyat, Selawat Asy-Syifaa, Selawat At-Tafrijiyyah atau An-Nariyah dan lain-lain lagi. Semuanya itu disebutkan keutamaan-keutamaannya setelah ia diamalkan oleh orang-orang saleh.

Selawat Al-Munjiyat misalnya, yang amat masyhur kelebihannya telah disebutkan oleh Al-Imam Al-Faqihani setelah mendengar daripada As-Syeikh Musa Ad-Dharir Rahimahumullah bahawa As-Syeikh Musa itu pernah belayar di tengah-tengah lautan yang besar bersama-sama dengan beberapa orang anak kapal yang lain.

Tiba-tiba kapal mereka dipukul ribut yang amat dahsyat. As-Syeikh Musa yang tertidur kerana keletihan telah bermimpi didatangi oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang memerintahkan beliau dan semua anak kapal itu supaya membaca Selawat Al-Munjiyat sebanyak seribu kali tetapi bila dibaca 300 kali sahaja, angin pun telah berhenti dan lautan menjadi tenang. Sehingga hari ini, ramailah ulama-ulama dan pengarang-pengarang kitab yang menganjurkan kepada orang-orang Islam supaya mengambil tabarruk dengan bilangan-bilangan yang disebutkan itu.

Demikianlah juga dengan Selawat At-Tafrijiyyah berkata Al-Imam Addinuri, barangsiapa membaca selawat ini sebelas kali pada tiap-tiap lepas sembahyang nescaya tidaklah putus rezekinya. Jika membaca 41 kali atau 100 kali pada tiap-tiap hari, nescaya berhasil segala hajat dan kehendaknya dengan syarat dilakukannya berterusan dengan tidak putus-putus.

Al-Imam Al-Qurtubi pula berkata : Barangsiapa berterusan mengamalkan Selawat At-Tafrijiyyah sebanyak 41 atau 100 kali pada setiap hari, diangkat oleh Allah akan dukacitanya dan mudaratnya, diluaskan rezekinya, dibukakan untuknya segala pintu kebajikan, dimustajabkan doanya dan lain-lain.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Melihat betapa besarnya kelebihan berselawat, maka alangkah beruntungnya umat Islam yang mengamalkan selawat pada setiap masa dan keyika, tanpa mengira banyak atau sedikit dan bukannya hanya sekali dalam setahun iaitu pada masa memperingati Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sahaja kerana apa yang lebih penting ialah keikhlasan dan istiqamah kita dalam mengamalkan selawat.

Akhirnya marilah kita mempertingkatkan rasa cinta dan kasih kita kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan memperbanyakkan selawat dan mengamalkan sunnah Baginda, mudah-mudahan kita akan tergolong di kalangan mereka yang akan mendapat syafaat Baginda di akhirat nanti. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Ahzab ayat 56 tafsirnya :

"Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatnya berselawat memberi segala penghormatan dan kebaikan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya".

dipetik dari khutbah Jumaat (09hb Rabiulawal 1430H/6 Mac 2009) Brunei Darussalam

TAZKIRAH BUAT DIRI..

Antara peluang syaitan untuk menguasai anak Adam ialah melalui sifat kikir dan takut papa. Kedua-dua sifat ini menghalang seseorang dari berkorban harta dan tenaga untuk perjuangan di jalan Allah. Ia menghalang seseorang menghulurkan bantuan kepada orang yang susah. Malah ia melemahkan rasa simpati dan kesan sifat perkemanusiaan yang ada dalam jiwa.

Allah menerangkan : "Syaitan menjanjikan ( menakut-nakutkan ) kamu dengan kemiskinan ( risiko ) dan menyuruh kamu berbuat kejahatan ( kikir).(Akan tetapi ) Allah menjanjikan untuk kamu keampunan dan kurnia daripadanya, dan Allah Maha Luas ( kurniaNya) dan Maha Mengetahui." ( Surah Al - Baqarah : 268)


kerana itu bermakna.....

1. untuk suami/isteri yang tidur berdengkur diwaktu malam, kerana beliau tidur disisi kita bukan dengan orang lain.

2. untuk anak/adik perempuan kita yang mengomel apabila mencuci pinggan, kerana itu bermakna dia berada di rumah, bukan dijalanan berpeleseran.

3. untuk cukai pendapatan yang kita kena bayar, kerana itu bermakna kita masih mempunyai pekerjaan.

4. untuk pakaian kita yang dah tak muat, kerana itu bermakna kita cukup makan.

5. untuk lantai yang perlu dimop, tingkap yang perlu dilap, dan rumah yang perlu dikemas, kerana itu bermakna kita mempunyai tempat tinggal.

6. untuk bunyi bising jiran-jiran, kerana itu bermakna kita masih lagi boleh mendengar.

7. untuk timbunan pakaian yang perlu dicuci/ digosok kerana itu bermakna kita ada pakaian untuk dipakai.

8. untuk keletihan/kesakitan otot selepas seharian bekerja, kerana itu bermakna kita masih berupaya untuk kerja kuat.

9. untuk tempat letak kereta yang jauh daripada lif, kerana itu bermakna kita masih berupaya untuk berjalan.

10.untuk jam loceng yang berdering pada waktu pagi, kerana itu bermakna kita masih hidup untuk meneruskan hari tersebut...

renung-renung seketika..

Kisah Sheikh Abdul Kadir Jailani Semasa Kecil

Kisahnya bermula seperti berikut:

” Pada suatu hari saya telah berangkat dari rumah menuju ke kota Baghdad kerana hendak menuntut ilmu. Kota Baghdad itu sangat jauh dari tempat kediaman saya. Disebabkan itulah maka sebelum berangkat ibu saya telah membekalkan saya sedikit wang iaitu sebanyak 40 dinar sebagai perbelanjaan pergi dan balik. Sebelum bertolak, ibu saya telah berpesan agar saya sentiasa bercakap dan berlaku benar dalam segala hal. Apalagi tujuan saya ke Baghdad ialah dengan tujuan yang mulia di sisi agama.

Dalam perjalanan itu saya menumpang sebuah rombongan kafilah kerana perkara itu adalah biasa bagi orang yang hendak berjalan jauh, apatah lagi ketika itu umur saya masih muda. Dalam perjalanan itu kafilah yang saya ikuti terpaksa melalui daerah Hamadan sebelum sampai ke tempat yang dituju. Kebetulan ketika kami sampai di daerah itu tiba-tiba satu kumpulan orang-orang jahat telah menahan kami. Perompak-perompak itu telah menangkap saya dan menjadikan saya orang tawanan mereka.

Semasa saya dibawa pergi, salah seorang daripada perompak itu bertanya: ‘Apakah yang kamu bawa bersama-samamu wahai budak?’ ‘Saya cuma bawa 40 dinar tuan’, ujar saya tegas. Sebaik saja mendengar kata-kata saya itu, mereka meninggalkan saya kerana mereka menyangka saya cuba mempermain-mainkan mereka. Selepas itu datang pula seorang perompak yang lain lalu bertanya. ‘Apa yang kamu bawa bersama-samamu wahai budak?’

Maka saya pun menjawab dengan jawapan yang serupa seperti yang saya ucapkan kepada kawan-kawannya tadi. Sebaik-baik saja dia mendengar kata-kata saya itu, dia terus membawa saya berjumpa dengan ketua mereka. Kemudian ketua mereka itu bertanya sebagaimana pertanyaan pengikut-pengikutnya tadi. Dengan tegas saya sekali lagi menjawab dengan jawapan itu juga tanpa berubah sedikitpun. Mendengarkan jawapan saya itu ketua perompak menjadi hairan seraya berkata, ‘Hai budak, kenapakah engkau begitu berani sekali berkata benar, sedangkan engkau membawa wang’.

Saya lantas menjawab. ‘Tuan sejak kecil lagi ibu saya telah mengajar saya supaya selalu bercakap benar. Hingga sebelum berangkat untuk menuntut ilmu ke Baghdad ini pun, ibu saya berpesan supaya saya jangan bercakap bohong. Saya tidak sampai hati hendak mengkhianati nasihat dan pesanan ibu saya. Apalah harganya wang 40 dinar saya ini tuan, bagi seorang yang mahu menuntut ilmu kerana Allah’.

Demi mendengar jawapan saya itu, maka dengan kuasa Allah swt ketua perompak itu lantas menangis tersedu-sedu di hadapan saya sambil berkata, ‘Alangkah mulianya budi pekerti mu hai budak, dan alangkah beruntungnya ibu yang melahirkan engkau. Sedangkan masih kecil begini engkau sudah takut berbuat dosa, tetapi aku pula tanpa segan silu berbuat jahat dan mengkhianati janji dan amanah Allah. Demi Allah swt, mulai hari ini aku bersumpah akan bertaubat dan kembali ke jalan yang suci dan benar.’

Kemudian ketua perompak itupun memerintahkan orang-orangnya supaya memulangkan harta rampasan kafilah saya. Setelah itu kami pun meneruskan perjalanan ke kota Baghdad. Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah kerana bukan saja saya terlindung dari segala musibah bahkan sekelian perompak itu telah bertaubat pula berkat dari sikap saya yang bercakap benar itu.”

(Nama Sheikh Abdul Kadir Jailani ra memang sudah terkenal di kalangan umat Islam sehingga hari ini. Beliau adalah seorang alim dan wali yang termasyhur. Sebagai seorang yang soleh dan warak beliau telah meninggalkan suatu kisah hidup mengenai dirinya yang elok dijadikan tauladan dalam hidup kita di hari ini. Kisah ini diceritakan sendiri oleh Sheikh Abdul Kadir Jailani yang telah diriwayatkan oleh Luqman Haqim). Wallahualam.