Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Kita sedang berada di bulan Rabiulawal, bulan yang mencatatkan peristiwa penting dalam sejarah Islam. Dimana apabila tibanya 12 Rabiulawal setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia akan sama-sama mengingati tarikh keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang diutus sebagai Rasul akhir zaman telah membawa sinar kebahagiaan kepada manusia dan rahmat kepada seluruh alam. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Anbiyaa' ayat 107 tafsirnya :

"Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sejarah telah membuktikan bahawa perjalanan kehidupan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam tugasnya menyebarkan dakwah Islam yang mulia ini penuh dengan peristiwa pahit dan getir, Baginda pernah dikeji, dihina, diugut, dibaling dengan batu sehingga berdarah, dimusuhi dan dipulaukan oleh sebilangan dari kaum keluarganya, namun untuk meninggalkan amanah Allah ini tidak sekali-kali terlintas di dalam jiwa Baginda.

Walaupun Baginda hidup dalam suasana masyarakat Jahiliah yang sesat, Baginda sekali-kali tidak terikut-ikut dan terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Jahiliah tersebut seperti penyembahan berhala, minum arak, berjudi dan berhibur. Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga menerima berbagai-bagai ujian dimana sejak kecil lagi Baginda menjadi yatim piatu dengan kewafatan ayahanda dan bonda yang tercinta. Kemudian Baginda dijaga oleh datuknya Abdul Mutalib tetapi Allah Subhanahu Wata'ala sekali lagi menguji Baginda dengan kewafatan datuknya ketika Baginda berusia lapan tahun dan kemudian Baginda dijaga oleh bapa saudaranya Abu Talib. Cuba kita bayangkan, bagaimana Baginda, orang yang bakal melaksanakan tugas menyebarkan dakwah Islam yang begitu besar dan berat telah diuji dengan kehilangan ahli keluarga ketika usianya yang masih kecil.

Tetapi Allah Maha Penentu segala-galanya dimana setiap sesuatu yang berlaku mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Ujian kewafatan ahli keluarga tercinta telah mendidik Baginda supaya menjadi seorang yang cepat matang, tabah dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain.

Justeru itu, kita wajib beriman kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya, mudah-mudahan kita beroleh kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Hasyr ayat 7 tafsirnya :

"Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka ambillah akan ia serta amalkan dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah Amat Berat Azab Seksa-Nya bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan kita supaya cinta dan kasihkan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dengan mengikut sunnah yang dibawanya. Jika kita mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, kita setentunya banyak menyebut-nyebut Baginda,? Syair Arab ada berkata ertinya :

"Barangsiapa menyukai sesuatu itu, akan banyaklah dia menyebut-nyebutnya".

Bagaimanakah caranya untuk kita menyebut nama Baginda sehingga boleh membawa keuntungan? Jawabnya ialah dengan berselawat. Semakin banyak kita berselawat, semakin besar ganjaran yang bakal diterima, bukan sahaja di akhirat malahan juga di dunia ini. Di antara kelebihan berselawat itu ialah :

1-Allah Subhanahu Wata'ala akan berselawat (memberi rahmat, cahaya dan hidayah) kepada orang yang berselawat.
2-Akan mendapat syafaat Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam di akhirat nanti.
3-Diangkat baginya sepuluh darjat, dicatatkan baginya sepuluh kebajikan, dihapuskan daripadanya sepuluh kejahatan.
4-Dimakbulkan doanya dan ditunaikan segala hajatnya dan ditutup segala aibnya.
5-Mendapat petunjuk serta hatinya hidup untuk menerima kebenaran.
6-Terlepas daripada huru-hara Hari Kiamat.

Dalam hal ini, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ada bersabda dalam hadis Baginda maksudnya :

"Dari Abdullah bin Mas'ud Radiallahuanhu bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Manusia yang paling utama bersama-Ku pada Hari Kiamat ialah orang yang paling banyak mengucapkan selawat kepadaku". (Riwayat Al-Imam At-Termidzi)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya banyak jenis selawat yang boleh diamalkan. Di antaranya Selawat Ibrahimiyyah, Selawat Al-Munjiyat, Selawat Asy-Syifaa, Selawat At-Tafrijiyyah atau An-Nariyah dan lain-lain lagi. Semuanya itu disebutkan keutamaan-keutamaannya setelah ia diamalkan oleh orang-orang saleh.

Selawat Al-Munjiyat misalnya, yang amat masyhur kelebihannya telah disebutkan oleh Al-Imam Al-Faqihani setelah mendengar daripada As-Syeikh Musa Ad-Dharir Rahimahumullah bahawa As-Syeikh Musa itu pernah belayar di tengah-tengah lautan yang besar bersama-sama dengan beberapa orang anak kapal yang lain.

Tiba-tiba kapal mereka dipukul ribut yang amat dahsyat. As-Syeikh Musa yang tertidur kerana keletihan telah bermimpi didatangi oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang memerintahkan beliau dan semua anak kapal itu supaya membaca Selawat Al-Munjiyat sebanyak seribu kali tetapi bila dibaca 300 kali sahaja, angin pun telah berhenti dan lautan menjadi tenang. Sehingga hari ini, ramailah ulama-ulama dan pengarang-pengarang kitab yang menganjurkan kepada orang-orang Islam supaya mengambil tabarruk dengan bilangan-bilangan yang disebutkan itu.

Demikianlah juga dengan Selawat At-Tafrijiyyah berkata Al-Imam Addinuri, barangsiapa membaca selawat ini sebelas kali pada tiap-tiap lepas sembahyang nescaya tidaklah putus rezekinya. Jika membaca 41 kali atau 100 kali pada tiap-tiap hari, nescaya berhasil segala hajat dan kehendaknya dengan syarat dilakukannya berterusan dengan tidak putus-putus.

Al-Imam Al-Qurtubi pula berkata : Barangsiapa berterusan mengamalkan Selawat At-Tafrijiyyah sebanyak 41 atau 100 kali pada setiap hari, diangkat oleh Allah akan dukacitanya dan mudaratnya, diluaskan rezekinya, dibukakan untuknya segala pintu kebajikan, dimustajabkan doanya dan lain-lain.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Melihat betapa besarnya kelebihan berselawat, maka alangkah beruntungnya umat Islam yang mengamalkan selawat pada setiap masa dan keyika, tanpa mengira banyak atau sedikit dan bukannya hanya sekali dalam setahun iaitu pada masa memperingati Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sahaja kerana apa yang lebih penting ialah keikhlasan dan istiqamah kita dalam mengamalkan selawat.

Akhirnya marilah kita mempertingkatkan rasa cinta dan kasih kita kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan memperbanyakkan selawat dan mengamalkan sunnah Baginda, mudah-mudahan kita akan tergolong di kalangan mereka yang akan mendapat syafaat Baginda di akhirat nanti. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Ahzab ayat 56 tafsirnya :

"Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatnya berselawat memberi segala penghormatan dan kebaikan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya".

dipetik dari khutbah Jumaat (09hb Rabiulawal 1430H/6 Mac 2009) Brunei Darussalam